Saturday 24 May 2014

PELAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DI SEKOLAH RENDAH

BAB I
1.0 Pendahuluan
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, bahasa pengantar utama yang digunakan di seluruh Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu diwajibkan dalam urusan kerajaan dalam memartabatkan lagi bahasa ibunda dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua pelajar pada semua peringkat persekolahan (KPM, 2001). Mata pelajaran Bahasa Melayu bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras sebagai bahasa ilmu (KPM, 2001). Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat untuk membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, serta berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air. Pendidikan Bahasa Melayu di peringkat rendah bertujuan untuk mewujudkan asas semangat kewarganegaraan yang tinggi dalam jiwa pelajar. Pembelajaran Bahasa Melayu secara formal kebanyakkan berlaku di sekolah. Kepentingan terhadap penguasaan bahasa sangat jelas dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa ialah kunci pintu khazanah ilmu manakala bacaan ialah jaminan untuk mendapatkan ilmu. Melalui bahasa, manusia dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, buah fikiran mendapatkan informasi, menambah ilmu pengetahuan dan sebagainya. Bahasa merupakan pembentung yang di dalamnya terdapat konsep, nilai dan idea yang diwarisi oleh bangsanya. Bahasa juga menentukan pemikiran sesuatu bangsa. Oleh itu, bahasa merupakan alat yang memindahkan suatu kebudayaan daripada satu generasi kepada satu generasi akan datang (Abdullah Hassan, 2002). Sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada Bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata serta peribahasa. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosda kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata pelajaran yang lain pada peringkat rendah. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan pelajar menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan seharian. Sukatan pelajaran ini memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat dan kecerdasan yang berbeza di kalangan pelajar.
Pembelajaran merupakan satu proses yang mementingkan interaksi empat komponen utama iaitu pelajar, guru, bahan pembelajaran dan pendekatan. Bahan pembelajaran pada masa kini tidak terhad kepada buku teks semata-mata. Mengikut kreativiti guru tersebut dalam menggunakan alat teknologi terkini untuk dijadikan bahan pengajaran dan mampu mengembangkan pemikiran pelajar ke arah pembangunan insan cemerlang. Bahan pengajaran harus dititikberatkan oleh guru untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan membuka minda pelajar untuk meminati subjek Bahasa Melayu. Pengajaran ialah satu usaha ke arah mempertingkatkan dan memperkembangkan potensi diri dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani seseorang individu. Pengajaran berupaya menambah kemahiran, kebolehan,pengetahuan dan pengalaman pelajar supaya dapat memberi faedah dan kemajuan dalam kehidupan. Melalui pengajaran akan dapat membantu dan mendorong untuk bertindak dengan cara yang betul untuk kepentingan diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
Kemahiran membaca merupakan keupayaan pelajar membaca ayat dengan lancar serta sebutan, intonasi dan jeda dengan betul. Penekanan perlu diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Melalui kemahiran membaca, pelajar dapat menggunakan bahan pembacaan untuk dijadikan bahan berbual sesama mereka. Ini akan meningkatkan lagi kemahiran bertutur dalam menyampaikan maklumat, pendapat dan idea yang kritis serta kreatif di dalam bilik darjah.



1.1 Latar Belakang Kajian
Kajian akan dijalankan bertujuan untuk menyelesaikan masalah guru-guru dalam mendidik pelajar untuk memahami pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Melentur buluh biar dari rebungnya, pihak Kementerian Pelajaran telah membuat pelan strategik bagi setiap pelajar yang tercicir dalam berbahasa Melayu dengan betul. Kementerian melalui Pusat Perkembangan Kurikulum telah menggubal Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu bagi menentukan standard  aras seperti yang dikehendaki oleh pihak kementerian. Selain menekankan aspek kemahiran asas mendengar, membaca dan menulis, kandungan sukatan pelajaran lebih menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis, berkomunikasi dan berinteraksi dalam mengembangkan pemikiran pelajar dalam Bahasa Melayu. Sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada Bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata serta peribahasa yang diajar dalam bilik darjah. Masalah yang paling membimbangkan ialah pelajar kurang memberi perhatian terhadap guru mengajar kerana guru menggunakan kaedah pengajaran secara tradisional iaitu bersyarah untuk memberi maklumat. Guru-guru kurang mahir dalam teknik penyoalan bagi merangsang pemikiran pelajar menyebabkan pelajar kurang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga kurang mengaplikasikan kemahiran berfikir melalui kaedah penyoalan yang digunakan. Pola soalan yang diajukan kepada pelajar adalah soalan-soalan berasas rendah pada peringkat pengetahuan. Guru-guru yang berpengalaman lama kurang didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini dan ini merumitkan lagi pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini sebagai tarikan kepada pelajar untuk memberikan sepenuh perhatian.
1.2 Penyataan Masalah
Kajian dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Jalan Kuantan-Pekan dengan seramai 10 tenaga pengajar yang ditugaskan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu. Modul pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu telah disediakan oleh  Bahagian Pembangunan Kurikulum dan telah disahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Modul ini perlu digunakan mengikut tatacaranya oleh tenaga pengajar bagi memastikan perjalanan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar. Modul ini diperkenalkan berikutan daripada kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran mendapati 165,000 pelajar di negara ini masih tidak mampu membaca dan 125,000 daripadanya adalah murid sekolah rendah yang dilaporkan dalam Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.  Kegagalan dan kelambatan pelajar menguasai kemahiran membaca di peringkat rendah perlu dilihat dengan serius dan memerlukan kaedah-kaedah yang sesuai bagi mengatasinya. Masalah ini boleh memberikan kesan yang buruk kepada pelajar daripada segi akademik dan sosial dimana sekiranya mereka ketinggalan dalam menguasai Bahasa Melayu menyebabkan mereka kurang berminat dengan matapelajaran yang lain. Seterusnya mengundang kepada masalah yang lebih serius iaitu tidak suka menghadiri kelas dan selalu tidak hadir ke sekolah. Ketinggalan menguasai kemahiran membaca mempengaruhi penguasaan dan pencapaian dalam mata pelajaran yang lain.
Sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran sesetengah guru kurang menggunakan teknik penyoalan di dalam kelas. Kegagalan guru untuk merangsang pemikiran pelajar telah menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya memberikan masa yang singkat untuk pelajar mencari dan memikirkan jawapan. Sesetengah guru akan menghukum pelajar tersebut dengan berdiri sehingga sesi soalan selesai. Perkara ini akan menyebabkan pelajar kurang untuk mengikuti mata pelajaran tersebut. Selain itu, guru kurang menekan aspek penglibatan pelajar dalam mengemukakan soalan iaitu hanya bertanyakan kepada beberapa pelajar sahaja. Masalah seterusnya ialah kehadiran teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran membantutkan guru-guru yang telah lama berkhidmat yang kurang arif tentang penggunaan alat elektronik tersebut. Sedar atau tidak kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di negara ini dari segi penyediaan infrastruktur juga kepada pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi maklumat serta dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar objektif dan matlamat pengajaran dan pembelajaran pelajar dapat dicapai. Sewaktu guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, adalah diharapkan agar guru dapat memberikan penekanan kepada unsur bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran secara konstektual dan pembelajaran secara konstruktivitisme. Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat. Manakala pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.


1.3 Kerangka Konseptual
Bagi menghuraikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah, kerangka konseptual yang sesuai adalah berasaskan kepada model Pendekatan Bersistem CIPP(Context, Input, Process and Product) dalam rujukan Olivia (2005). Model ini membincangkan tiga elemen penting berkaitan pengajaran dan pembelajaran iaitu penggarisan, pemerolehan dan penyediaan (Olivia, 2005). Elemen penggarisan memfokuskan kepada informasi yang dapat ditakrifkan dan lebih spesifik. Elemen pemerolehan melibatkan proses pengumpulan data, mengorganisasi dan menganalisis penilaian pengajaran dan pembelajaran. Dalam elemen penyediaan pula merupakan kesinambungan daripada tujuan sistem penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, ketiga-tiga elemen ini merangkumi asas metodologi dalam kajian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Kerangka konseptual untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu terdiri daripada empat model iaitu konteks, input, proses dan output. Dalam kajian ini, konteks melibatkan antara guru-guru dan pelajar manakala input merupakan pelajar sekolah. Proses pula melibatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan output ialah hasil pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah pengajaran, sukatan pengajaran dan bahan pengajaran adalah elemen yang saling berhubung kait untuk memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Manakala penilaian pula merujuk kepada satu sistem maklum balas yang dapat digunakan untuk menilai perubahan serta memberikan maklumat kepada guru berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, pendekatan komunikatif, deduktif, induktif dan elektif diukur bagi mengetahui sejauh mana guru-guru mengaplikasikan dalam pembelajaran di dalam kelas. Perkaedahan merujuk kepada pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti mengajar, latihan, persoalan dan perbincangan yang selalu digunakan oleh guru-guru. Bahan bantu mengajar ialah bahan yang digunakan oleh guru bagi membantu pelajar mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Aspek penilaian pengajaran bermaksud proses pengumpulan maklumat berkenaan kemajuan dan prestasi pelajar. Hasil daripada penilaian ini dapat digunakan oleh guru-guru untuk menyediakan alternatif yang lebih baik bagi memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah.

1.4 Objektif Kajian
Matlamat matapelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa, menghargai serta menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. Usaha ini yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu serta bertujuan untuk melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia. Antara objektif kajian bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu adalah seperti berikut.
i) Pelajar mampu bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila.
ii) Mengenal pasti sikap guru terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
iii) Mengenal pasti masalah pelajar yang kelambatan dalam menguasai kemahiran membaca.
iv) Mengenal pasti aplikasi dan kaedah yang sesuai bagi memudahkan guru-guru untuk menyampaikan modul pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar.
v) Mengenal pasti kaedah bagi membantu guru-guru dalam menggunakan sepenuhnya bahan bantu elektronik yang disediakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

1.5 Soalan Kajian
i) Adakah matapelajaran Bahasa Melayu yang disampaikan oleh guru-guru mudah diterima oleh murid-murid?
ii) Apakah punca kepada kegagalan dan kelambatan pelajar dalam menguasai kemahiran membaca Bahasa Melayu?
iii) Adakah guru-guru menghadapi masalah dalam mengendalikan bahan ilmiah menggunakan peralatan teknologi terkini?

1.6 Kepentingan Kajian
Kajian ini penting untuk memberikan maklumat kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengatasi masalah pelajar. Kajian ini juga penting dalam melihat keberkesanan modul-modul yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah kelambatan pelajar untuk menguasai kemahiran membaca. Selain itu, kajian ini dilakukan kerana dapat menjelaskan kepada guru Bahasa Melayu terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam matapelajaran Bahasa Melayu. Diharapkan kajian ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak akan kepentingan pendidikan yang sewajarnya kepada pelajar demi masa depan mereka dan memberi sumbangan kepada negara pada masa akan datang. Dengan kajian ini dapat memberikan jalan keluar kepada masalah yang membuntukan dan menyelesaikan masalah pelajar dan guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru-guru perlu mengetahui jenis bahan, ciri-ciri dan kemahiran menggunakan bahan bantu mengajar bukan elektronik seperti majalah dan bahan bantu mengajar elektronik seperti televisyen dan komputer. Guru perlu mengikuti perkembangan menggunakan bahan bantu mengajar yang sentiasa berkembang dengan pesatnya. Sebagai pendidik, guru perlu menilai kualiti bahan pengajaran yang ingin digunakannya. Melalui kajian ini, semua pihak dapat meneliti corak pengajaran yang diajar di dalam kelas dan menentukan kaedah yang sesuai sekiranya untuk membuat perubahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
1.7 Batasan Kajian
Kajian ini akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Jalan Kuantan-Pekan. Setiap kajian yang dijalankan pastilah mempunyai masalah dan batasan yang terpaksa dihadapi oleh setiap penyelidik. Kajian ini memerlukan borang soal selidik bagi mendapat jawapan kepada persoalan yang dikemukan. Borang akan diedarkan kepada respoden iaitu guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu. Masa yang akan diambil oleh responden mungkin lebih lama kerana soalan yang perlu dijawab adalah banyak bagi mengungkai permasalahan iaitu mempunyai empat bahagian borang soal selidik. Jadual kelas yang padat menyukarkan lagi pengkaji untuk memberikan borang soal selidik dan perlu mencari masa yang sesuai seperti waktu rehat atau selepas sesi persekolahan. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak dalam melakukan kajian ini adalah sangat penting kerana responden yang akan membantu dalam menjayakan kajian ini. Selain itu, pihak pentadbiran juga memainkan peranan penting dalam membantu mengeluarkan senarai nama pelajar dan guru bagi memudahkan kajian dijalankan. Kaedah pemerhatian yang akan dijalankan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas amatlah memerlukan kerjasama sepenuhnya oleh guru dan pelajar untuk mendapatkan data yang lengkap. Selain itu, sesi temu bual bersama guru yang dilakukan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran tamat. Sekiranya semua pihak tidak memberikan kerjasama yang padu memungkin kajian ini tidak dapat dijalankan dan mungkin terkandas dipertengahan kajian.

1.8 Definisi Pembolehubah
Dalam kajian ini perlulah diterangkan beberapa definisi atau ungkapan yang mempunyai makna khusus. Terdapat tiga definisi yang perlu diterangkan dalam konteks ini iaitu :
Pelaksanaan
Pelaksanaan merupakan kegiatan yang dilaksanakan oleh sesuatu badan atau wadah secara berencana, teratur dan terarah guna mencapai tujuan yang diharapkan.
Pengajaran
Pengajaran merupakan satu bentuk komunikasi kerana melaluinya berlaku proses penyampaian dan penerimaan maklumat. Proses ini akan menentukan bentuk ilmu pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan kepada pelajar.

Pembelajaran
Pembelajaran merupakan satu proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Pembelajaran juga berkaitan dengan proses belajar. Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada sebarang masa yang tidak ditetapkan tempoh tamatnya.
                                                         
1.9 Rumusan
Rumusan yang dapat disimpulkan dalam bab 1 ini adalah pengetahuan tentang kepentingan matapelajaran Bahasa Melayu terhadap pelajar melalui latar belakang kajian, penyataan masalah, soalan kajian dan objektif kajian. Objektif kajian yang menekankan kepada aspek permasalahan yang dihadapi oleh guru-guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui persoalan, pengkaji cuba untuk mengenalpasti punca sebenar masalah yang dihadapi oleh guru-guru dan pelajar. Kepentingan kajian adalah untuk dijadikan rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Peranan guru sangat penting di sekolah sebagai pendidik kepada pelajar dalam pembelajaran kemahiran membaca. Sekiranya  seseorang guru tidak dapat menguasai teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat itu tidak akan berhasil. Diharapkan kajian ini dapat membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah.


 BAB II
KAJIAN LITERATURE
2.0 Pendahuluan
Dalam bahagian ini, kajian ini akan menerangkan teori dan konsep yang sesuai untuk diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Rujukan dari kajian-kajian lepas yang telah dilakukan oleh pengkaji untuk memperbaiki dan menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah demi masa hadapan pelajar-pelajar. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru-guru harus menggunakan pelbagai pendekatan aktiviti yang sesuai untuk perkembangan diri, kebolehan, keupayaan dan bakat pelajar-pelajar. Guru perlu menjalankan aktiviti yang melibatkan pelajar secara aktif supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna, berkesan dan mudah difahami. Aktiviti tersebut perlu dirancang dan dilakukan secara sistematik bagi menjamin setiap pelajar mendapat peluang yang sama bagi mengembangkan minda dan kebolehan masing-masing. Oleh itu mereka memperoleh pelbagai pengalaman pembelajaran sebenar sama ada secara individu atau berkumpulan. Aktiviti yang dilakukan di dalam kelas adalah pengalaman yang sangat penting untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak lagi dibelengu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.  Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti-aktiviti yang mampu menarik minat mereka dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran di dalam bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam pembelajaran. Guru berperanan menyampaikan  pengajaran kepada pelajar agar menjadi insan yang cemerlang kepada negara pada masa akan datang. Sejauh mana tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru itu sendiri. Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan  teknik pengajaran yang berkesan.

2.1 Teori dan Konsep
Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa pendidikan itu suatu proses yang berterusan dimana ilmu itu boleh dicari dimana-mana sahaja. Sebagai saluran pendidikan pada peringkat awal, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah sememangnya menggalas tugas yang amat berat, ini kerana pada peringkat permulaanlah segalanya bermula. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  akan memastikan pendidikan yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat, segala proses pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Negara yang menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  bukan sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas. Sepatutnya mereka tidak boleh diabaikan begitu sahaja disebabkan kelemahan mereka. Usaha perlulah diambil bagi menangani kelemahan pelajar dengan pengajaran modul yang bersesuaian. Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh guru tanpa jemu kepada pelajarnya demi masa hadapan mereka.

Untuk menjayakan kajian ini, pengkaji menggunakan konsep 5P iaitu penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Melalui konsep ini, pelajar dapat memahami lebih mendalam tentang matapelajaran tersebut dan memudahkan mereka untuk meneruskan pembelajaran dengan matapelajaran yang lain. Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dimana beberapa kemahiran dapat dikuasai secara serentak. Cara ini juga dapat menarik minat pelajar bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran yang lain. Konsep penyerapan membantu pelajar dalam memahami pelbagai ilmu dalam setiap matapelajaran dengan mudah. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti membaca, berfikir, kajian masa depan dan kemahiran belajar. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dalam mata pelajaran dan membuka minda pelajar dalam pembelajaran di sekolah. Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberi bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan seperti bacaan tambahan, kad, permainan, dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada pelajar yang menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada masa yang ditentukan. Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran asas. Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid.

Teori konstruktivisme adalah pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan antara idea dan fakta yang sedang dipelajari. Oleh itu, konstruktivisme juga dikenali sebagai fahaman ”binaan”. Dari kenyataan-kenyataan tersebut, jelaslah bahawa mengikut teori pembelajaran konstruktivisme, pelajar perlu memainkan peranan aktif dalam memahami dan memberi makna kepada maklumat atau pengetahuan yang dipelajari. Manusia bukanlah penerima maklumat yang pasif. Sebaliknya pelajar menerima maklumat dengan aktif, menghubungkannya dengan maklumat terdahulu yang telah diasimilasinya, dan menjadikan maklumat itu miliknya dengan membina kefahaman atau membuat interpretasi ke atas maklumat.
Perkembangan teknologi maklumat begitu rancak kebelakangan ini termasuk juga di dalam bidang pendidikan. Sebagai seorang guru, mereka perlu menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam menyempurnakan tugas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada hari ini, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di negara kita dari segi penyediaan infrastruktur serta kepada pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang bersifat interaktif kepada pelajar. Oleh itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi terkini serta dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar objektif dan matlamat pengajaran dan pembelajaran pelajar dapat dicapai. Bagi membantu guru-guru dalam menggunakan teknologi terkini, pihak Kementerian Pelajaran boleh memberikan kursus ataupun bengkel jangka pendek secara berkala untuk memastikan guru-guru Bahasa Melayu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kemajuan dalam teknologi pendidikan terkini.

Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman di bilik darjah sesuai dengan situasi kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia global sekarang. Sehubungan dengan itu, kurikulum Bahasa Melayu menyepadukan kemahiran lain agar memenuhi keperluan semasa pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, dan kontekstual. Penjelasan tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan di bawah.
1) Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui soalan dan aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa depan.
2) Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti menghantar dan menerima emel, menggunakan aplikasi perisian dalam menyempurnakan tugasan harian, dan mengakses maklumat melalui internet.
3) Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
4) Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pembelajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan supaya murid mendapat manfaat yang maksimum.
5) Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai merangkumi verbal-linguistik, logikmatematik, muzik, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis. Oleh itu, guru perlu mengembangkan potensi kecerdasan murid dengan menyediakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza.
6) Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.

2.2 Kajian-kajian Berkaitan
Dalam kajian ini, pengkaji akan membuat rujukan kepada hasil kajian yang terdahulu bagi membantu dalam kajian yang dijalankan. Rujukan tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan informasi berguna dan menjadi panduan kepada pengkaji untuk melakukan kajian yang berguna kepada semua pihak. Hasil kajian yang dijalankan oleh Zainora (2005) telah mendapati keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Merting, Jerantut, berada pada tahap yang tidak memuaskan. Majoriti kelas tidak mencapai sasaran sekolah iaitu 80%. Selain itu, terdapat lebih kurang lima peratus murid yang markah peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di bawah 20 markah. Hasil tinjauan dilakukan menunjukkan bahawa murid-murid ini tidak menguasai kemahiran membaca. Masalah ini menyebabkan mereka lambat memahami kehendak soalan dan juga menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan menjawab tanpa membaca soalan. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Roziah (2005) di Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut, Pahang Darul Makmur, seramai 10 orang daripada 27 orang murid Tahun Satu begitu lemah dalam membaca. Membaca bererti memerhati isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Membaca bukan hanya proses mekanikal yang melibatkan menulis huruf semata-mata. Penglibatan proses yang berhubung kait antara huruf dan seterusnya proses menterjemah penulisan serta permaknaan perkataan yang diterjemahkan. Penguasaan dan kefahaman membaca bergantung kepada teknik dan cara pembaca menggunakan mata serta minda dalam memahami satu-satu makna (Abdullah Aliyy Mustapha, 2007: 129-136).
Dalam kajian yang dijalankan oleh Zamri dan Razah (2011) mendapati guru-guru kerap bertanya soalan kepada pelajar untuk menguji pengetahuan dan kefahaman tentang tajuk yang dipelajari. Daripada persoalan yang diajukan kepada pelajar, ia akan memotivasikan pelajar tersebut serta menggalakkan pelajar berfikir. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa komponen kemahiran penyoalan yang telah diaplikasikan dengan baik oleh guru-guru. Sebagai contoh kemahiran penyoalan seperti pembentukan soalan yang jelas dan tepat dilaksanakan dengan baik oleh guru semasa menyoal pelajar. Pelajar dapat menjawab soalan guru dengan segera dan mudah sepanjang pemerhatian di dalam kelas. Hal ini kerana guru-guru mengaplikasikan kemahiran hentian sebentar yang memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir dan merujuk dalam buku teks. Sepanjang pemerhatian, guru-guru memanggil nama pelajar sama ada yang cemerlang ataupun yang lemah dan sama ada lelaki atau perempuan. Setiap jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar dilayan dengan baik sama ada dengan memberikan pujian atau membantu pelajar tersebut. Menurut Mahzan (2007), guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat kurikulum Bahasa Melayu. Hal ini kerana guru-guru yang akan memastikan pendekatan pengajaran secara komunikatif terutamanya aktiviti komunikatif dapat dijalankan. Pengajaran yang dijalankan mengikut prinsip-prinsip pendekatan pengajaran secara komunikatif yang baik dipercayai akan melahirkan murid yang dapat menguasai bahasa Melayu dari segi sistem bahasa dan juga kemahiran berbahasa. Bagi mencapai matlamat pengajaran bahasa Melayu, pelbagai pendekatan lazimnya digunakan. Antara pendekatan yang sering digunakan adalah pendekatan komunikatif. Kajian ini perlu memandangkan pengajaran bahasa Melayu menerusi pendekatan aktiviti komunikatif jarang dilaksanakan di dalam bilik darjah.
Medium yang berkaitan dengan penggunaan dan penghasilan bahan bantu mengajar seperti komputer atau multimedia berada pada tahap yang sederhana. Kebanyakan guru kurang berpengetahuan tentang teknologi maklumat dan komunikasi yang memungkinkan mereka menggunakan medium tersebut untuk menghasilkan bahan bantu mengajar. Menurut NurAisyah et al. (2012), bahan bantu mengajar khususnya penggunaan komputer adalah elemen yang penting untuk mewujudkan pembelajaran menyeronokkan dengan lebih efektif di dalam bilik darjah seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam menangani masalah ini, pihak kementerian boleh memberikan kursus-kursus mahupun bengkel-bengkel jangka pendek secara berkala untuk memastikan guru-guru Bahasa Melayu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kemajuan dalam teknologi pendidikan terkini. Kajian menunjukkan murid berminat dalam kelas yang menggunakan komputer secara efektif dan jarang ponteng kelas, malah mereka sudi memperuntukkan lebih masa untuk belajar menggunakan komputer. Di samping itu, murid juga lebih bersosial, lebih berdikari dan saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta sudi berkongsi informasi dan pengetahuan (Azman, 2000). Kajian Faridah (2001) menunjukkan pengajaran berbantukan komputer memanfaatkan murid. Murid akan menjadi lebih aktif, lebih menumpukan perhatian kepada tugasan dan kemahiran menyelesaikan masalah semakin meningkat. Selain itu, kajian ini juga telah membuktikan bahawa komputer mempercepatkan proses pembelajaran dan berpotensi untuk meningkatkan prestasi pencapaian akademik murid-murid.

2.3 Rumusan
Dalam Bab 2 ini menerangkan secara jelas bagaimana pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu akan dijalankan. Teori dan konsep yang digunakan mampu mengubah statistik pengkaji sebelum ini ke arah yang lebih memuaskan. Penggunaan konsep yang bersesuaian dengan masalah dapat mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah pada masa hadapan. Masalah guru yang kurang dalam kepenggunaan bahan berbantu elektronik dapat diatasi melalui kelas tambahan secara berkala berkaitan cara-cara penggunaan alat elektronik. Ini akan menambahbaikkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan pelajar lebih menumpukan lebih perhatian dalam sesi tersebut. Melalui rujukan terhadap kajian-kajian terdahulu dapat membantu pengkaji dalam mengenalpasti masalah yang timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan berkesan dan meningkatkan produktiviti pembelajaran di dalam kelas.

BAB III

METODOLOGI

3.0 Pendahuluan
Dalam bab ini aspek yang dititikberatkan adalah rekabentuk kajian, persampelan, instrumen kajian dan analisis data. Kajian ini dilaksanakan menggunakan kaedah kualitatif untuk mengumpul data melalui kaedah soal selidik, pemerhatian dan temu bual responden. Borang soal selidik akan diberikan setiap satu kepada respoden untuk mendapatkan data. Data kualitatif dianalisis mengikut kriteria yang ditetapkan yang diselaraskan dengan soalan yang dikemukakan dalam soal selidik. Penyelarasan ini dilakukan bertujuan bagi memudahkan pengkaji untuk mendapatkan data lengkap yang dapat dikemukakan dalam laporan. Persampelan dibuat dengan memilih 10 orang responden iaitu guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu. Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik, pemerhatian dan temu bual terhadap responden. Soal selidik merupakan alat ukur yang digunakan dalam kajian pendidikan. Soal selidik yang digunakan terbahagi kepada empat bahagian. Pemerhatian melibatkan rakaman video dan catatan lapangan yang dilakukan sepanjang kajian dijalankan. Temu bual dilakukan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran dan mempunyai dua jenis temu bual dilakukan iaitu temu bual tidak formal dan temu bual formal berpandu. Seterusnya pengkaji akan menganalisis data yang diperolehi daripada tiga kaedah yang digunakan dan menyimpulkan dalam laporan.

3.1 Rekabentuk kajian
Berdasarkaan objektif dan persoalan kajian, pengkaji menggunakan rekabentuk kaedah kajian kualitatif dengan menggunakan teknik pengutipan data iaitu soal selidik, pemerhatian dan temu bual responden. Pendekatan kualitatif ini membolehkan pengkaji mendapat maklumat yang bercorak proses yang melibatkan persoalan kepada aktiviti yang dilakukan di dalam kelas semasa pengajaran dan pembelajaran. Dalam kajian ini, pengkaji akan berperanan sebagai instrumen utama yang hadir sendiri di tempat kajian bagi membuat pemerhatian dan mengutip data yang diperlukan. Soal selidik dibuat untuk mengetahui reaksi responden terhadap sesuatu masalah yang diutarakan. Kaedah yang kedua untuk menjalankan kajian ini ialah kaedah pemerhatian dimana pengkaji akan mengikuti sesi pengjaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selepas itu, pengkaji akan menemu bual responden berkaitan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam kelas tersebut. Oleh itu, kajian ini dapat menerangkan lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi dan memudahkan jalan penyelesaian dilakukan.

3.2 Persampelan
Responden yang dipilih merupakan guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang. Dalam kajian ini, kaedah persampelan dibuat dengan memilih 10 orang tenaga pengajar yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut. Senarai nama guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu diambil dari pihak pentadbiran sekolah. Responden akan diberikan borang soal selidik setiap seorang dan mereka diberikan masa yang secukupnya untuk menjawab semua soalan. Had masa terserah kepada responden kerana kajian ini memerlukan hasil dapatan kajian yang tepat dan padat. Selain itu, pengkaji akan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran responden di dalam kelas dan selepas tamat sesi tersebut, responden akan di temu bual oleh pengkaji berkaitan pembelajaran di dalam kelas.

3.3 Instrumen kajian
Tujuan utama kajian ini ialah memahami proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu teknik pemerhatian merupakan teknik utama yang digunakan dalam pengutipan data. Teknik pemerhatian di setiap kelas Bahasa Melayu akan dilakukan untuk mengetahui dan memahami situasi sebenar dan dapat mengenalpasti punca kepada masalah. Melalui pemerhatian, pengkaji dapat melihat secara langsung tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pengkaji dapat merapatkan diri dengan responden serta memerhati dan mendengar apa sahaja yang berlaku dalam masa melakukan kajian ini. Untuk kajian soal selidik, pengkaji telah menyediakan empat bahagian borang kajian iaitu Bahagian A, B, C dan D.Bahagian A mengenai latar belakang responden berkenaan jantina, umur, pengalaman mengajar, pengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan kelulusan. Bahagian B pula mengenai kesediaan guru untuk mengaplikasikan pembelajaran yang lebih efektif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Bahagian C menanyakan tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berkaitan dengan medium yang digunakan oleh guru serta jangka waktu pelaksanaan. Bahagian D berkaitan dengan persepsi guru Bahasa Melayu terhadap kebolehgunaan dan kesesuaian pembelajaran menggunakan bahan bantu elektronik dalam pembelajaran Bahasa Melayu.
Bagi proses pemerhatian ini, pengkaji menyediakan satu borang khas bagi mencatat dan meneliti aktiviti yang berlaku sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Senarai kriteria pengajaran yang diperolehi akan dijadikan sebagai panduan untuk membuat pemerhatian selanjutnya. Pengkaji membuat pemerhatian terhadap setiap gerak-geri, percakapan, reaksi dan suasana persekitaran. Selain membuat catatan lapangan, pengkaji juga membuat catatan jurnal bagi merekod apa-apa idea, pemikiran, pendapat, pengalaman, perancangan dan masalah yang timbul berkaitan dengan pemerhatian. Berbeza dengan catatan lapangan yang merekodkan maklumat  yang didapati secara lengkap daripada pemerhatian. Untuk melakukan kajian pemerhatian, pengkaji akan menurut serta dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan membuat catatan dan rakaman video. Pada peringkat ini, pengkaji akan melakukan pemerhatian khusus terhadap aktiviti yang dijalankan seperti merakam pengajaran guru dan tindak balas pelajar menggunakan kamera video dan mencatat dalam buku catatan lapangan. Selepas sesi berakhir, responden akan ditemu bual tentang semua faktor-faktor yang berkaitan dengan  proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kelas, kelengkapan, suasana kelas dan persekitaran serta kekangan masa. Terdapat dua jenis temu bual yang akan digunakan dalam kajian ini iaitu temu bual tidak formal dan temu bual formal berpandu. Temu bual tidak formal ialah temu bual yang mengemukakan soalan secara spontan dalam perbualan. Temu bual formal berpandu pula mampunyai senarai soalan mengikut isu yang dikaji semasa dalam proses pemerhatian yang dijalankan. Temu bual dijalankan untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang mana-mana aspek yang kurang jelas semasa pemerhatian yang dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

3.4 Analisis data
Analisis data dilakukan berdasarkan kriteria pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pandangan hasil kajian soal selidik, temu bual dan pemerhatian yang dijalankan akan digunakan. Sebagai panduan kepada pengkaji, antara beberapa soalan yang dikemukakan kepada responden dalam temu bual ialah soalan berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kelas, kelengkapan, suasana kelas dan persekitaran serta kekangan masa.  Daripada kaedah temu bual yang dijalankan dengan responden, pengkaji memperolehi pelbagai maklumat yang selama ini kurang jelas melalui kaedah pemerhatian. Selain itu, pengkaji dapat mengemukakan soalan-soalan yang dapat mencungkil penjelasan tentang perlakuan yang ditunjukkan oleh pelajar. Setelah pengkaji meneliti setiap data yang diperolehi dalam ketiga-tiga kaedah instrumen kajian seterusnya pada pengakhiran pengkaji akan membuat kesimpulan di dalam kajian penuh.

3.5 Rumusan
Rumusan yang dapat disimpulkan dalam bab 3 ini ialah kepentingan teknik yang sesuai dalam melakukan sesuatu kajian. Guru-guru dapat mengetahui tindakan yang perlu mereka lakukan dan kesan tindakan tersebut kepada pembelajaran pelajar. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, dengan ini membolehkan guru membuat keputusan yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini akan memberikan maklumat kepada guru-guru tentang kepentingan melihat kembali pengajaran yang telah dijalankan terutama rakaman video dan membolehkan guru membuat refleksi kepada yang lebih baik. Refleksi guru terhadap pengajaran akan menjadikan guru tersebut dapat meningkat mutu pengajaran menjadi lebih berkesan kepada pelajar. Daripada analisis data yang diperolehi, pengkaji dapat membuat kesimpulan yang dapat membantu dalam meningkat mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah.