BAB I
1.0
Pendahuluan
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi, bahasa pengantar utama
yang digunakan di seluruh Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu diwajibkan dalam
urusan kerajaan dalam memartabatkan lagi bahasa ibunda dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub
dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras yang wajib
dipelajari oleh semua pelajar pada semua peringkat persekolahan (KPM, 2001).
Mata pelajaran Bahasa Melayu bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan
ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras sebagai bahasa ilmu (KPM,
2001). Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat untuk membina rasa bangga terhadap
bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, serta berperanan
sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air. Pendidikan Bahasa
Melayu di peringkat rendah bertujuan untuk mewujudkan asas semangat
kewarganegaraan yang tinggi dalam jiwa pelajar. Pembelajaran Bahasa Melayu
secara formal kebanyakkan berlaku di sekolah. Kepentingan terhadap penguasaan
bahasa sangat jelas dalam bidang pendidikan kerana bahasa menjadi medium utama
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa ialah kunci pintu khazanah ilmu manakala bacaan ialah
jaminan untuk mendapatkan ilmu. Melalui bahasa, manusia dapat berkomunikasi
dengan lebih berkesan untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, buah
fikiran mendapatkan informasi, menambah ilmu pengetahuan dan sebagainya. Bahasa
merupakan pembentung yang di dalamnya terdapat konsep, nilai dan idea yang
diwarisi oleh bangsanya. Bahasa juga menentukan pemikiran sesuatu bangsa. Oleh
itu, bahasa merupakan alat yang memindahkan suatu kebudayaan daripada satu
generasi kepada satu generasi akan datang (Abdullah Hassan, 2002). Sistem
bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada Bahasa Melayu baku yang
terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata serta
peribahasa. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek
kosda kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata
pelajaran yang lain pada peringkat rendah. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa iaitu kemahiran
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan
pelajar menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan seharian.
Sukatan pelajaran ini memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya
pembelajaran, minat dan kecerdasan yang berbeza di kalangan pelajar.
Pembelajaran merupakan satu proses yang mementingkan
interaksi empat komponen utama iaitu pelajar, guru, bahan pembelajaran dan
pendekatan. Bahan pembelajaran pada masa kini tidak terhad kepada buku teks
semata-mata. Mengikut kreativiti guru tersebut dalam menggunakan alat teknologi
terkini untuk dijadikan bahan pengajaran dan mampu mengembangkan pemikiran
pelajar ke arah pembangunan insan cemerlang. Bahan pengajaran harus
dititikberatkan oleh guru untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih
menyeronokkan dan membuka minda pelajar untuk meminati subjek Bahasa Melayu.
Pengajaran ialah satu usaha ke arah mempertingkatkan dan memperkembangkan
potensi diri dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani seseorang individu.
Pengajaran berupaya menambah kemahiran, kebolehan,pengetahuan dan pengalaman
pelajar supaya dapat memberi faedah dan kemajuan dalam kehidupan. Melalui
pengajaran akan dapat membantu dan mendorong untuk bertindak dengan cara yang
betul untuk kepentingan diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
Kemahiran membaca merupakan keupayaan pelajar membaca ayat
dengan lancar serta sebutan, intonasi dan jeda dengan betul. Penekanan perlu
diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis
dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Melalui kemahiran membaca, pelajar
dapat menggunakan bahan pembacaan untuk dijadikan bahan berbual sesama mereka.
Ini akan meningkatkan lagi kemahiran bertutur dalam menyampaikan maklumat,
pendapat dan idea yang kritis serta kreatif di dalam bilik darjah.
1.1 Latar
Belakang Kajian
Kajian akan dijalankan bertujuan untuk menyelesaikan masalah
guru-guru dalam mendidik pelajar untuk memahami pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu. Melentur buluh biar dari rebungnya, pihak Kementerian Pelajaran
telah membuat pelan strategik bagi setiap pelajar yang tercicir dalam berbahasa
Melayu dengan betul. Kementerian melalui Pusat Perkembangan Kurikulum telah
menggubal Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu bagi menentukan standard aras seperti yang dikehendaki oleh pihak
kementerian. Selain menekankan aspek kemahiran asas mendengar, membaca dan
menulis, kandungan sukatan pelajaran lebih menggalakkan pelajar berfikir secara
kreatif dan kritis, berkomunikasi dan berinteraksi dalam mengembangkan
pemikiran pelajar dalam Bahasa Melayu. Sistem bahasa dalam pengajaran dan
pembelajaran merujuk kepada Bahasa Melayu baku yang terdiri daripada
tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata serta peribahasa yang diajar
dalam bilik darjah. Masalah yang paling membimbangkan ialah pelajar kurang
memberi perhatian terhadap guru mengajar kerana guru menggunakan kaedah
pengajaran secara tradisional iaitu bersyarah untuk memberi maklumat. Guru-guru
kurang mahir dalam teknik penyoalan bagi merangsang pemikiran pelajar
menyebabkan pelajar kurang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Guru
juga kurang mengaplikasikan kemahiran berfikir melalui kaedah penyoalan yang
digunakan. Pola soalan yang diajukan kepada pelajar adalah soalan-soalan
berasas rendah pada peringkat pengetahuan. Guru-guru yang berpengalaman lama
kurang didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini dan ini merumitkan lagi
pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini sebagai tarikan kepada pelajar
untuk memberikan sepenuh perhatian.
1.2
Penyataan Masalah
Kajian dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Jalan
Kuantan-Pekan dengan seramai 10 tenaga pengajar yang ditugaskan untuk mengajar
subjek Bahasa Melayu. Modul pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu telah disediakan
oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum dan
telah disahkan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Modul ini perlu digunakan
mengikut tatacaranya oleh tenaga pengajar bagi memastikan perjalanan pengajaran
dan pembelajaran berjalan lancar. Modul ini diperkenalkan berikutan daripada
kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran mendapati 165,000 pelajar di
negara ini masih tidak mampu membaca dan 125,000 daripadanya adalah murid
sekolah rendah yang dilaporkan dalam Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
2006-2010. Kegagalan dan kelambatan
pelajar menguasai kemahiran membaca di peringkat rendah perlu dilihat dengan
serius dan memerlukan kaedah-kaedah yang sesuai bagi mengatasinya. Masalah ini
boleh memberikan kesan yang buruk kepada pelajar daripada segi akademik dan
sosial dimana sekiranya mereka ketinggalan dalam menguasai Bahasa Melayu
menyebabkan mereka kurang berminat dengan matapelajaran yang lain. Seterusnya
mengundang kepada masalah yang lebih serius iaitu tidak suka menghadiri kelas
dan selalu tidak hadir ke sekolah. Ketinggalan menguasai kemahiran membaca
mempengaruhi penguasaan dan pencapaian dalam mata pelajaran yang lain.
Sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran sesetengah guru
kurang menggunakan teknik penyoalan di dalam kelas. Kegagalan guru untuk
merangsang pemikiran pelajar telah menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hanya memberikan masa yang singkat
untuk pelajar mencari dan memikirkan jawapan. Sesetengah guru akan menghukum
pelajar tersebut dengan berdiri sehingga sesi soalan selesai. Perkara ini akan
menyebabkan pelajar kurang untuk mengikuti mata pelajaran tersebut. Selain itu,
guru kurang menekan aspek penglibatan pelajar dalam mengemukakan soalan iaitu
hanya bertanyakan kepada beberapa pelajar sahaja. Masalah seterusnya ialah
kehadiran teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran membantutkan
guru-guru yang telah lama berkhidmat yang kurang arif tentang penggunaan alat
elektronik tersebut. Sedar atau tidak kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi telah menjadi satu gelombang yang telah mempengaruhi pendidikan di
negara ini dari segi penyediaan infrastruktur juga kepada pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, guru perlulah memahirkan diri mereka dengan kemahiran
teknologi maklumat serta dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang
meliputi bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar objektif dan matlamat
pengajaran dan pembelajaran pelajar dapat dicapai. Sewaktu guru menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran, adalah diharapkan agar guru dapat
memberikan penekanan kepada unsur bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir,
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar,
kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran secara konstektual dan
pembelajaran secara konstruktivitisme. Pembelajaran konstruktivisme dalam
pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan
baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada.
Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan lebih seronok untuk
terus belajar sepanjang hayat. Manakala pembelajaran kontekstual ialah kaedah
pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu,
masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam
persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan
berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan
pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan
kehidupan mereka.
1.3
Kerangka Konseptual
Bagi menghuraikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
di sekolah rendah, kerangka konseptual yang sesuai adalah berasaskan kepada
model Pendekatan Bersistem CIPP(Context, Input, Process and Product) dalam
rujukan Olivia (2005). Model ini membincangkan tiga elemen penting berkaitan
pengajaran dan pembelajaran iaitu penggarisan, pemerolehan dan penyediaan
(Olivia, 2005). Elemen penggarisan memfokuskan kepada informasi yang dapat
ditakrifkan dan lebih spesifik. Elemen pemerolehan melibatkan proses
pengumpulan data, mengorganisasi dan menganalisis penilaian pengajaran dan
pembelajaran. Dalam elemen penyediaan pula merupakan kesinambungan daripada
tujuan sistem penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, ketiga-tiga
elemen ini merangkumi asas metodologi dalam kajian terhadap proses pengajaran
dan pembelajaran. Kerangka konseptual untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu terdiri daripada empat model iaitu konteks, input, proses dan output.
Dalam kajian ini, konteks melibatkan antara guru-guru dan pelajar manakala
input merupakan pelajar sekolah. Proses pula melibatkan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu dan output ialah hasil pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah pengajaran, sukatan pengajaran dan bahan
pengajaran adalah elemen yang saling berhubung kait untuk memastikan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Manakala
penilaian pula merujuk kepada satu sistem maklum balas yang dapat digunakan
untuk menilai perubahan serta memberikan maklumat kepada guru berkaitan proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, pendekatan
komunikatif, deduktif, induktif dan elektif diukur bagi mengetahui sejauh mana
guru-guru mengaplikasikan dalam pembelajaran di dalam kelas. Perkaedahan
merujuk kepada pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti mengajar,
latihan, persoalan dan perbincangan yang selalu digunakan oleh guru-guru. Bahan
bantu mengajar ialah bahan yang digunakan oleh guru bagi membantu pelajar
mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Aspek penilaian pengajaran
bermaksud proses pengumpulan maklumat berkenaan kemajuan dan prestasi pelajar.
Hasil daripada penilaian ini dapat digunakan oleh guru-guru untuk menyediakan alternatif
yang lebih baik bagi memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
di sekolah rendah.
1.4
Objektif Kajian
Matlamat matapelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah
untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa, menghargai serta
menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan
bahasa ilmu. Usaha ini yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu serta bertujuan untuk melahirkan
rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia. Antara
objektif kajian bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
adalah seperti berikut.
i) Pelajar mampu bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah
fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila.
ii) Mengenal pasti sikap guru terhadap pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah.
iii) Mengenal pasti masalah pelajar yang kelambatan dalam
menguasai kemahiran membaca.
iv) Mengenal pasti aplikasi dan kaedah yang sesuai bagi
memudahkan guru-guru untuk menyampaikan modul pengajaran dan pembelajaran
kepada pelajar.
v) Mengenal pasti kaedah bagi membantu guru-guru dalam
menggunakan sepenuhnya bahan bantu elektronik yang disediakan untuk proses
pengajaran dan pembelajaran.
1.5 Soalan
Kajian
i) Adakah matapelajaran Bahasa Melayu yang disampaikan oleh
guru-guru mudah diterima oleh murid-murid?
ii) Apakah punca kepada kegagalan dan kelambatan pelajar
dalam menguasai kemahiran membaca Bahasa Melayu?
iii) Adakah guru-guru menghadapi masalah dalam mengendalikan
bahan ilmiah menggunakan peralatan teknologi terkini?
1.6
Kepentingan Kajian
Kajian ini penting untuk memberikan maklumat kepada
pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengatasi
masalah pelajar. Kajian ini juga penting dalam melihat keberkesanan modul-modul
yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah
kelambatan pelajar untuk menguasai kemahiran membaca. Selain itu, kajian ini
dilakukan kerana dapat menjelaskan kepada guru Bahasa Melayu terhadap
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan prestasi pelajar
dalam matapelajaran Bahasa Melayu. Diharapkan kajian ini dapat memberi
kesedaran kepada semua pihak akan kepentingan pendidikan yang sewajarnya kepada
pelajar demi masa depan mereka dan memberi sumbangan kepada negara pada masa
akan datang. Dengan kajian ini dapat memberikan jalan keluar kepada masalah
yang membuntukan dan menyelesaikan masalah pelajar dan guru-guru dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru-guru
perlu mengetahui jenis bahan, ciri-ciri dan kemahiran menggunakan bahan bantu
mengajar bukan elektronik seperti majalah dan bahan bantu mengajar elektronik
seperti televisyen dan komputer. Guru perlu mengikuti perkembangan menggunakan
bahan bantu mengajar yang sentiasa berkembang dengan pesatnya. Sebagai
pendidik, guru perlu menilai kualiti bahan pengajaran yang ingin digunakannya.
Melalui kajian ini, semua pihak dapat meneliti corak pengajaran yang diajar di
dalam kelas dan menentukan kaedah yang sesuai sekiranya untuk membuat perubahan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
1.7
Batasan Kajian
Kajian ini akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Bunut
Rendang, Jalan Kuantan-Pekan. Setiap kajian yang dijalankan pastilah mempunyai
masalah dan batasan yang terpaksa dihadapi oleh setiap penyelidik. Kajian ini
memerlukan borang soal selidik bagi mendapat jawapan kepada persoalan yang
dikemukan. Borang akan diedarkan kepada respoden iaitu guru-guru yang mengajar
Bahasa Melayu. Masa yang akan diambil oleh responden mungkin lebih lama kerana
soalan yang perlu dijawab adalah banyak bagi mengungkai permasalahan iaitu
mempunyai empat bahagian borang soal selidik. Jadual kelas yang padat
menyukarkan lagi pengkaji untuk memberikan borang soal selidik dan perlu
mencari masa yang sesuai seperti waktu rehat atau selepas sesi persekolahan.
Selain itu, kerjasama daripada semua pihak dalam melakukan kajian ini adalah
sangat penting kerana responden yang akan membantu dalam menjayakan kajian ini.
Selain itu, pihak pentadbiran juga memainkan peranan penting dalam membantu
mengeluarkan senarai nama pelajar dan guru bagi memudahkan kajian dijalankan.
Kaedah pemerhatian yang akan dijalankan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas amatlah memerlukan kerjasama sepenuhnya oleh guru dan pelajar
untuk mendapatkan data yang lengkap. Selain itu, sesi temu bual bersama guru
yang dilakukan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran tamat. Sekiranya semua
pihak tidak memberikan kerjasama yang padu memungkin kajian ini tidak dapat
dijalankan dan mungkin terkandas dipertengahan kajian.
1.8
Definisi Pembolehubah
Dalam kajian ini
perlulah diterangkan beberapa definisi atau ungkapan yang mempunyai makna
khusus. Terdapat tiga definisi yang perlu diterangkan dalam konteks ini iaitu :
Pelaksanaan
Pelaksanaan merupakan kegiatan yang
dilaksanakan oleh sesuatu badan atau wadah secara berencana, teratur dan
terarah guna mencapai tujuan yang diharapkan.
Pengajaran
Pengajaran merupakan
satu bentuk komunikasi kerana melaluinya berlaku proses penyampaian dan
penerimaan maklumat. Proses ini akan menentukan bentuk ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang disampaikan kepada pelajar.
Pembelajaran
Pembelajaran merupakan
satu proses pemerolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan
tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Pembelajaran juga berkaitan
dengan proses belajar. Proses pembelajaran berlaku di mana-mana tempat dan pada
sebarang masa yang tidak ditetapkan tempoh tamatnya.
1.9
Rumusan
Rumusan yang dapat disimpulkan dalam bab 1 ini adalah
pengetahuan tentang kepentingan matapelajaran Bahasa Melayu terhadap pelajar
melalui latar belakang kajian, penyataan masalah, soalan kajian dan objektif
kajian. Objektif kajian yang menekankan kepada aspek permasalahan yang dihadapi
oleh guru-guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui
persoalan, pengkaji cuba untuk mengenalpasti punca sebenar masalah yang
dihadapi oleh guru-guru dan pelajar. Kepentingan kajian adalah untuk dijadikan
rujukan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah dalam
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Peranan guru sangat
penting di sekolah sebagai pendidik kepada pelajar dalam pembelajaran kemahiran
membaca. Sekiranya seseorang guru tidak
dapat menguasai teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar
matlamat itu tidak akan berhasil. Diharapkan kajian ini dapat membantu
meningkatkan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Bahasa Melayu di sekolah
rendah.
KAJIAN
LITERATURE
2.0
Pendahuluan
Dalam bahagian ini, kajian ini akan menerangkan
teori dan konsep yang sesuai untuk diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran
di sekolah rendah. Rujukan dari kajian-kajian lepas yang telah dilakukan oleh
pengkaji untuk memperbaiki dan menambahbaik sistem pengajaran dan pembelajaran
di sekolah demi masa hadapan pelajar-pelajar. Dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran, guru-guru harus menggunakan pelbagai pendekatan aktiviti yang
sesuai untuk perkembangan diri, kebolehan, keupayaan dan bakat pelajar-pelajar.
Guru perlu menjalankan aktiviti yang melibatkan pelajar secara aktif supaya
pembelajaran menjadi lebih bermakna, berkesan dan mudah difahami. Aktiviti
tersebut perlu dirancang dan dilakukan secara sistematik bagi menjamin setiap
pelajar mendapat peluang yang sama bagi mengembangkan minda dan kebolehan
masing-masing. Oleh itu mereka memperoleh pelbagai pengalaman pembelajaran
sebenar sama ada secara individu atau berkumpulan. Aktiviti yang dilakukan di
dalam kelas adalah pengalaman yang sangat penting untuk proses pengajaran dan
pembelajaran. Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam
pengajaran dan pembelajaran akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk
melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi
memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak
lagi dibelengu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata. Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada
pelajar melalui pelbagai aktiviti-aktiviti yang mampu menarik minat mereka
dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam
pengajaran di dalam bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam
pembelajaran. Guru berperanan menyampaikan
pengajaran kepada pelajar agar menjadi insan yang cemerlang kepada
negara pada masa akan datang. Sejauh mana tercapainya objektif ini adalah
bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian guru itu sendiri. Guru yang
berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu pengetahuannya, tetapi
juga bijak menggunakan kaedah dan teknik
pengajaran yang berkesan.
2.1 Teori
dan Konsep
Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa pendidikan itu
suatu proses yang berterusan dimana ilmu itu boleh dicari dimana-mana sahaja.
Sebagai saluran pendidikan pada peringkat awal, Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah sememangnya menggalas tugas yang amat berat, ini kerana pada peringkat
permulaanlah segalanya bermula. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan memastikan pendidikan yang diberikan
kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan
awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang
hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat,
segala proses pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah.
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Negara yang
menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah bukan sahaja
menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki
menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru juga tidak seharusnya melupakan
pelajar yang lemah di dalam kelas. Sepatutnya mereka tidak boleh diabaikan
begitu sahaja disebabkan kelemahan mereka. Usaha perlulah diambil bagi
menangani kelemahan pelajar dengan pengajaran modul yang bersesuaian.
Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh guru tanpa jemu kepada
pelajarnya demi masa hadapan mereka.
Untuk menjayakan kajian ini, pengkaji menggunakan konsep 5P
iaitu penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian dalam
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Melalui konsep ini,
pelajar dapat memahami lebih mendalam tentang matapelajaran tersebut dan
memudahkan mereka untuk meneruskan pembelajaran dengan matapelajaran yang lain.
Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran dimana beberapa kemahiran dapat dikuasai secara serentak. Cara ini
juga dapat menarik minat pelajar bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam proses
pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan sama ada kemahiran yang terdapat
dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran yang lain.
Konsep penyerapan membantu pelajar dalam memahami pelbagai ilmu dalam setiap
matapelajaran dengan mudah. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai
dan kemahiran bernilai tambah seperti membaca, berfikir, kajian masa depan dan
kemahiran belajar. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dalam mata
pelajaran dan membuka minda pelajar dalam pembelajaran di sekolah. Program
pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan
minat. Murid hendaklah diberi bahan yang berbeza untuk digunakan secara
bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan seperti bacaan tambahan, kad,
permainan, dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada pelajar yang menguasai
kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada masa yang
ditentukan. Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai
kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan
untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan,
dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang
mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan
murid menguasai sesuatu kemahiran asas. Penilaian dianggap sebagai sebahagian
daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan aktiviti untuk
mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif
pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian
berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas
seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan setelah
itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan
yang sesuai bagi murid.
Teori konstruktivisme adalah pendekatan pembelajaran yang
menyediakan peluang kepada murid untuk membina kefahaman terhadap perkara yang
dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan antara idea dan fakta yang
sedang dipelajari. Oleh itu, konstruktivisme juga dikenali sebagai fahaman
”binaan”. Dari kenyataan-kenyataan tersebut, jelaslah bahawa mengikut teori
pembelajaran konstruktivisme, pelajar perlu memainkan peranan aktif dalam
memahami dan memberi makna kepada maklumat atau pengetahuan yang dipelajari.
Manusia bukanlah penerima maklumat yang pasif. Sebaliknya pelajar menerima
maklumat dengan aktif, menghubungkannya dengan maklumat terdahulu yang telah
diasimilasinya, dan menjadikan maklumat itu miliknya dengan membina kefahaman
atau membuat interpretasi ke atas maklumat.
Perkembangan teknologi maklumat begitu rancak kebelakangan
ini termasuk juga di dalam bidang pendidikan. Sebagai seorang guru, mereka
perlu menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam
menyempurnakan tugas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada hari ini,
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi satu gelombang yang
telah mempengaruhi pendidikan di negara kita dari segi penyediaan infrastruktur
serta kepada pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat seperti
perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan pengajaran dan
pembelajaran yang bersifat interaktif kepada pelajar. Oleh itu, guru perlulah
memahirkan diri mereka dengan kemahiran teknologi terkini serta dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan yang terkini yang meliputi bidang teknologi maklumat
dan komunikasi agar objektif dan matlamat pengajaran dan pembelajaran pelajar
dapat dicapai. Bagi membantu guru-guru dalam
menggunakan teknologi terkini, pihak Kementerian Pelajaran boleh memberikan
kursus ataupun bengkel jangka pendek secara berkala untuk memastikan guru-guru
Bahasa Melayu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang
berkaitan dengan kemajuan dalam teknologi pendidikan terkini.
Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman di bilik
darjah sesuai dengan situasi kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia
global sekarang. Sehubungan dengan itu, kurikulum Bahasa Melayu menyepadukan
kemahiran lain agar memenuhi keperluan semasa pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran berfikir, kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa
depan, kecerdasan pelbagai, dan kontekstual. Penjelasan tentang kemahiran
bernilai tambah dinyatakan di bawah.
1) Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui soalan dan
aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar,
bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada dari segi
mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan penting
dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa depan.
2) Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan
kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi
seperti menghantar dan menerima emel, menggunakan aplikasi perisian dalam
menyempurnakan tugasan harian, dan mengakses maklumat melalui internet.
3) Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid
supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan
kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk
menghadapi dunia yang sering berubah, dan mengamalkan pembelajaran seumur
hidup.
4) Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pembelajaran untuk
mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang
berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Ini bermakna, murid dapat
membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan supaya murid
mendapat manfaat yang maksimum.
5) Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai merangkumi verbal-linguistik,
logikmatematik, muzik, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis. Oleh itu,
guru perlu mengembangkan potensi kecerdasan murid dengan menyediakan gaya
pembelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka kerana setiap
individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza.
6) Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang
mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan
alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang
pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran
berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna
dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.
2.2
Kajian-kajian Berkaitan
Dalam kajian ini, pengkaji akan membuat rujukan
kepada hasil kajian yang terdahulu bagi membantu dalam kajian yang dijalankan.
Rujukan tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan informasi berguna dan
menjadi panduan kepada pengkaji untuk melakukan kajian yang berguna kepada
semua pihak. Hasil kajian yang dijalankan oleh Zainora (2005) telah
mendapati keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah
Kebangsaan Merting, Jerantut, berada pada tahap yang tidak memuaskan. Majoriti
kelas tidak mencapai sasaran sekolah iaitu 80%. Selain itu, terdapat lebih
kurang lima peratus murid yang markah peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa
Melayu di bawah 20 markah. Hasil tinjauan dilakukan menunjukkan bahawa
murid-murid ini tidak menguasai kemahiran membaca. Masalah ini menyebabkan
mereka lambat memahami kehendak soalan dan juga menyebabkan mereka mengambil
jalan mudah dengan menjawab tanpa membaca soalan. Berdasarkan kajian yang
dijalankan oleh Roziah (2005) di Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut,
Pahang Darul Makmur, seramai 10 orang daripada 27 orang murid Tahun Satu begitu
lemah dalam membaca. Membaca bererti memerhati isi
sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna
kandungannya (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Membaca bukan hanya proses
mekanikal yang melibatkan menulis huruf semata-mata. Penglibatan proses yang
berhubung kait antara huruf dan seterusnya proses menterjemah penulisan serta
permaknaan perkataan yang diterjemahkan. Penguasaan dan kefahaman membaca
bergantung kepada teknik dan cara pembaca menggunakan mata serta minda dalam
memahami satu-satu makna (Abdullah Aliyy Mustapha, 2007: 129-136).
Dalam kajian yang dijalankan oleh Zamri dan Razah (2011)
mendapati guru-guru kerap bertanya soalan kepada pelajar untuk menguji
pengetahuan dan kefahaman tentang tajuk yang dipelajari. Daripada persoalan
yang diajukan kepada pelajar, ia akan memotivasikan pelajar tersebut serta
menggalakkan pelajar berfikir. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa terdapat
beberapa komponen kemahiran penyoalan yang telah diaplikasikan dengan baik oleh
guru-guru. Sebagai contoh kemahiran penyoalan seperti pembentukan soalan yang
jelas dan tepat dilaksanakan dengan baik oleh guru semasa menyoal pelajar.
Pelajar dapat menjawab soalan guru dengan segera dan mudah sepanjang
pemerhatian di dalam kelas. Hal ini kerana guru-guru mengaplikasikan kemahiran
hentian sebentar yang memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir dan merujuk
dalam buku teks. Sepanjang pemerhatian, guru-guru memanggil nama pelajar sama
ada yang cemerlang ataupun yang lemah dan sama ada lelaki atau perempuan.
Setiap jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar dilayan dengan baik sama ada
dengan memberikan pujian atau membantu pelajar tersebut. Menurut
Mahzan (2007), guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan
hasrat kurikulum Bahasa Melayu. Hal ini kerana guru-guru yang akan memastikan
pendekatan pengajaran secara komunikatif terutamanya aktiviti komunikatif dapat
dijalankan. Pengajaran yang dijalankan mengikut prinsip-prinsip pendekatan
pengajaran secara komunikatif yang baik dipercayai akan melahirkan murid yang
dapat menguasai bahasa Melayu dari segi sistem bahasa dan juga kemahiran
berbahasa. Bagi mencapai matlamat pengajaran bahasa Melayu, pelbagai pendekatan
lazimnya digunakan. Antara pendekatan yang sering digunakan adalah pendekatan
komunikatif. Kajian ini perlu memandangkan pengajaran bahasa Melayu menerusi
pendekatan aktiviti komunikatif jarang dilaksanakan di dalam bilik darjah.
Medium yang berkaitan dengan penggunaan dan penghasilan
bahan bantu mengajar seperti komputer atau multimedia berada pada tahap yang
sederhana. Kebanyakan guru kurang berpengetahuan tentang teknologi maklumat dan
komunikasi yang memungkinkan mereka menggunakan medium tersebut untuk
menghasilkan bahan bantu mengajar. Menurut NurAisyah et al. (2012), bahan bantu
mengajar khususnya penggunaan komputer adalah elemen yang penting untuk
mewujudkan pembelajaran menyeronokkan dengan lebih efektif di dalam bilik
darjah seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam
menangani masalah ini, pihak kementerian boleh memberikan
kursus-kursus mahupun bengkel-bengkel jangka pendek secara berkala untuk
memastikan guru-guru Bahasa Melayu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan
kemahiran yang berkaitan dengan kemajuan dalam teknologi pendidikan terkini. Kajian
menunjukkan murid berminat dalam kelas yang menggunakan komputer secara efektif
dan jarang ponteng kelas, malah mereka sudi memperuntukkan lebih masa untuk
belajar menggunakan komputer. Di samping itu, murid juga lebih bersosial, lebih
berdikari dan saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta sudi berkongsi
informasi dan pengetahuan (Azman, 2000). Kajian Faridah (2001) menunjukkan
pengajaran berbantukan komputer memanfaatkan murid. Murid akan menjadi lebih
aktif, lebih menumpukan perhatian kepada tugasan dan kemahiran menyelesaikan
masalah semakin meningkat. Selain itu, kajian ini juga telah membuktikan bahawa
komputer mempercepatkan proses pembelajaran dan berpotensi untuk meningkatkan
prestasi pencapaian akademik murid-murid.
2.3
Rumusan
Dalam Bab 2 ini menerangkan secara jelas bagaimana
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu akan dijalankan. Teori
dan konsep yang digunakan mampu mengubah statistik pengkaji sebelum ini ke arah
yang lebih memuaskan. Penggunaan konsep yang bersesuaian dengan masalah dapat
mempermudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah pada masa hadapan.
Masalah guru yang kurang dalam kepenggunaan bahan berbantu elektronik dapat
diatasi melalui kelas tambahan secara berkala berkaitan cara-cara penggunaan
alat elektronik. Ini akan menambahbaikkan lagi sistem pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah dan pelajar lebih menumpukan lebih perhatian
dalam sesi tersebut. Melalui rujukan terhadap kajian-kajian terdahulu dapat
membantu pengkaji dalam mengenalpasti masalah yang timbul dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan
berkesan dan meningkatkan produktiviti pembelajaran di dalam kelas.
BAB III
METODOLOGI
3.0 Pendahuluan
Dalam bab ini aspek yang dititikberatkan adalah rekabentuk
kajian, persampelan, instrumen kajian dan analisis data. Kajian ini
dilaksanakan menggunakan kaedah kualitatif untuk mengumpul data melalui kaedah
soal selidik, pemerhatian dan temu bual responden. Borang soal selidik akan
diberikan setiap satu kepada respoden untuk mendapatkan data. Data kualitatif
dianalisis mengikut kriteria yang ditetapkan yang diselaraskan dengan soalan
yang dikemukakan dalam soal selidik. Penyelarasan ini dilakukan bertujuan bagi
memudahkan pengkaji untuk mendapatkan data lengkap yang dapat dikemukakan dalam
laporan. Persampelan dibuat dengan memilih 10 orang responden iaitu guru-guru
yang mengajar Bahasa Melayu. Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik,
pemerhatian dan temu bual terhadap responden. Soal selidik merupakan alat ukur
yang digunakan dalam kajian pendidikan. Soal selidik yang digunakan terbahagi
kepada empat bahagian. Pemerhatian melibatkan rakaman video dan catatan
lapangan yang dilakukan sepanjang kajian dijalankan. Temu bual dilakukan
selepas sesi pengajaran dan pembelajaran dan mempunyai dua jenis temu bual
dilakukan iaitu temu bual tidak formal dan temu bual formal berpandu.
Seterusnya pengkaji akan menganalisis data yang diperolehi daripada tiga kaedah
yang digunakan dan menyimpulkan dalam laporan.
3.1 Rekabentuk kajian
Berdasarkaan objektif dan persoalan kajian, pengkaji
menggunakan rekabentuk kaedah kajian kualitatif dengan menggunakan teknik
pengutipan data iaitu soal selidik, pemerhatian dan temu bual responden.
Pendekatan kualitatif ini membolehkan pengkaji mendapat maklumat yang bercorak
proses yang melibatkan persoalan kepada aktiviti yang dilakukan di dalam kelas
semasa pengajaran dan pembelajaran. Dalam kajian ini, pengkaji akan berperanan
sebagai instrumen utama yang hadir sendiri di tempat kajian bagi membuat
pemerhatian dan mengutip data yang diperlukan. Soal selidik dibuat untuk
mengetahui reaksi responden terhadap sesuatu masalah yang diutarakan. Kaedah
yang kedua untuk menjalankan kajian ini ialah kaedah pemerhatian dimana
pengkaji akan mengikuti sesi pengjaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selepas
itu, pengkaji akan menemu bual responden berkaitan dengan sesi pengajaran dan
pembelajaran yang berlaku di dalam kelas tersebut. Oleh itu, kajian ini dapat
menerangkan lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi dan memudahkan jalan
penyelesaian dilakukan.
3.2 Persampelan
Responden yang dipilih merupakan guru-guru Bahasa Melayu
yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang. Dalam kajian ini, kaedah
persampelan dibuat dengan memilih 10 orang tenaga pengajar yang mengajar subjek
Bahasa Melayu di sekolah tersebut. Senarai nama guru-guru yang mengajar Bahasa
Melayu diambil dari pihak pentadbiran sekolah. Responden akan diberikan borang
soal selidik setiap seorang dan mereka diberikan masa yang secukupnya untuk
menjawab semua soalan. Had masa terserah kepada responden kerana kajian ini
memerlukan hasil dapatan kajian yang tepat dan padat. Selain itu, pengkaji akan
mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran responden di dalam kelas dan selepas
tamat sesi tersebut, responden akan di temu bual oleh pengkaji berkaitan
pembelajaran di dalam kelas.
3.3 Instrumen kajian
Tujuan utama kajian ini ialah memahami proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu teknik pemerhatian merupakan teknik utama
yang digunakan dalam pengutipan data. Teknik pemerhatian di setiap kelas Bahasa
Melayu akan dilakukan untuk mengetahui dan memahami situasi sebenar dan dapat
mengenalpasti punca kepada masalah. Melalui pemerhatian, pengkaji dapat melihat
secara langsung tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pengkaji dapat merapatkan diri dengan
responden serta memerhati dan mendengar apa sahaja yang berlaku dalam masa
melakukan kajian ini. Untuk kajian soal selidik, pengkaji telah menyediakan
empat bahagian borang kajian iaitu Bahagian A, B, C dan D.Bahagian A mengenai
latar belakang responden berkenaan jantina, umur, pengalaman mengajar,
pengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan kelulusan. Bahagian B pula
mengenai kesediaan guru untuk mengaplikasikan pembelajaran yang lebih efektif
dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Bahagian C menanyakan tentang
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berkaitan dengan medium
yang digunakan oleh guru serta jangka waktu pelaksanaan. Bahagian D berkaitan
dengan persepsi guru Bahasa Melayu terhadap kebolehgunaan dan kesesuaian
pembelajaran menggunakan bahan bantu elektronik dalam pembelajaran Bahasa
Melayu.
Bagi proses pemerhatian ini, pengkaji menyediakan satu
borang khas bagi mencatat dan meneliti aktiviti yang berlaku sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Senarai kriteria pengajaran yang diperolehi akan
dijadikan sebagai panduan untuk membuat pemerhatian selanjutnya. Pengkaji
membuat pemerhatian terhadap setiap gerak-geri, percakapan, reaksi dan suasana
persekitaran. Selain membuat catatan lapangan, pengkaji juga membuat catatan
jurnal bagi merekod apa-apa idea, pemikiran, pendapat, pengalaman, perancangan
dan masalah yang timbul berkaitan dengan pemerhatian. Berbeza dengan catatan
lapangan yang merekodkan maklumat yang
didapati secara lengkap daripada pemerhatian. Untuk melakukan kajian pemerhatian,
pengkaji akan menurut serta dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas dengan membuat catatan dan rakaman video. Pada peringkat ini, pengkaji
akan melakukan pemerhatian khusus terhadap aktiviti yang dijalankan seperti
merakam pengajaran guru dan tindak balas pelajar menggunakan kamera video dan
mencatat dalam buku catatan lapangan. Selepas sesi berakhir, responden akan
ditemu bual tentang semua faktor-faktor yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran termasuk
kelas, kelengkapan, suasana kelas dan persekitaran serta kekangan masa.
Terdapat dua jenis temu bual yang akan digunakan dalam kajian ini iaitu temu
bual tidak formal dan temu bual formal berpandu. Temu bual tidak formal ialah
temu bual yang mengemukakan soalan secara spontan dalam perbualan. Temu bual
formal berpandu pula mampunyai senarai soalan mengikut isu yang dikaji semasa
dalam proses pemerhatian yang dijalankan. Temu bual dijalankan untuk
mendapatkan penjelasan lanjut tentang mana-mana aspek yang kurang jelas semasa
pemerhatian yang dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
3.4 Analisis data
Analisis data dilakukan berdasarkan kriteria pelaksanaan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pandangan hasil kajian soal
selidik, temu bual dan pemerhatian yang dijalankan akan digunakan. Sebagai
panduan kepada pengkaji, antara beberapa soalan yang dikemukakan kepada
responden dalam temu bual ialah soalan berkaitan dengan proses pengajaran dan
pembelajaran termasuk kelas, kelengkapan, suasana kelas dan persekitaran serta
kekangan masa. Daripada kaedah temu bual
yang dijalankan dengan responden, pengkaji memperolehi pelbagai maklumat yang
selama ini kurang jelas melalui kaedah pemerhatian. Selain itu, pengkaji dapat
mengemukakan soalan-soalan yang dapat mencungkil penjelasan tentang perlakuan
yang ditunjukkan oleh pelajar. Setelah pengkaji meneliti setiap data yang
diperolehi dalam ketiga-tiga kaedah instrumen kajian seterusnya pada
pengakhiran pengkaji akan membuat kesimpulan di dalam kajian penuh.
3.5 Rumusan
Rumusan yang dapat disimpulkan dalam bab 3 ini ialah
kepentingan teknik yang sesuai dalam melakukan sesuatu kajian. Guru-guru dapat
mengetahui tindakan yang perlu mereka lakukan dan kesan tindakan tersebut
kepada pembelajaran pelajar. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, dengan
ini membolehkan guru membuat keputusan yang terbaik dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini akan memberikan maklumat kepada
guru-guru tentang kepentingan melihat kembali pengajaran yang telah dijalankan
terutama rakaman video dan membolehkan guru membuat refleksi kepada yang lebih
baik. Refleksi guru terhadap pengajaran akan menjadikan guru tersebut dapat
meningkat mutu pengajaran menjadi lebih berkesan kepada pelajar. Daripada
analisis data yang diperolehi, pengkaji dapat membuat kesimpulan yang dapat
membantu dalam meningkat mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di
sekolah rendah.
A good job
ReplyDeleteMay i share it?